Thursday, 16 June 2011

Berita Muzik Tempatan

1986-1990 Evolusi Muzik Malaysia Dalam AJL

0 Comments
by sultanmuzaffar | 05 Jan 2011 | in HIBURAN, BERITA HANGAT,
Dalam tempoh 25 tahun penganjurannya, Anugerah Juara Lagu boleh dianggap sebagai alat paling tepat untuk melihat bagaimana corak muzik di Malaysia berubah saban tahun. Menerusi program tersebut, penggemar muzik dapat menilai sama ada industri muzik tempatan berada di jalan yang terbaik untuk terus melangkah ke pesada global.

Mula bersiaran pada 2 Mac 1986, program Muzik Muzik mula mendapat perhatian penonton televisyen tempatan. Jika di awal tahun penganjurannya, pemilihan lagu terbaik dibuat menerusi undian yang dilakukan setiap bulan hinggalah sekarang konsep pertandingan mencari lagu terbaik setiap tahun boleh dikatakan yang terbaik untuk menilai selera masyarakat.

Bersesuaian dengan usianya, AJL telah melalui pelbagai fasa untuk mencapai tahap matang seperti sekarang. Pernah dipecahkan kepada tiga kategori bagi menggalakkan penciptaan lagu bergenre irama tradisional dan kembali semula kepada tanpa kategori. Walaupun mendapat kritikan, AJL terus utuh sebagai satu jenama yang paling dinantikan setiap tahun.


AJL 1986

Di AJL 1986, penyampai popular TV3 ketika itu, Abas Bakar dan Habibah Yaakob mengacarakan acara siaran langsung tersebut. Di usia baru setahun jagung, TV3 telah dianggap berjaya melaksanakan acara berprestij itu dengan jayanya.

Tahun 1986 menyaksikan lagu ciptaan Manan Ngah dengan lirik oleh Lukhman S iaitu Sekadar Di Pinggiran muncul sebagai juara sulung AJL. Lagu yang dipersembahkan Francesca Peter itu sememangnya cukup popular lebih-lebih lagi di penghujung tahun. Fran, seorang penyanyi bukan Melayu sekadar mengenakan baju kurung ketika menyampaikan lagu tersebut dan menjadi buah mulut masyarakat.

Pada tahun yang sama, dua lagu Jamal Abdillah iaitu Perjalananku dan Cinta Yang Terbiar tidak dapat dipersembahkan oleh penyanyi asalnya atas alasan peribadi. Sebaliknya diganti oleh Rohana Jalil dan Azman Abu Hassan.

Ada beberapa momen menarik dari AJL tahun itu antaranya busana ala pengantin yang dikenakan Siti Fairuz dan persembahan hebat dari bekas juara Bintang RTM, Rohana Jalil. Sejak itu, nama Rohana semakin melonjak popular sehingga berpeluang untuk menyertai AJL dengan lagu sendiri. Tuah Rohana apabila dia memenangi tempat ketiga untuk kategori Persembahan Terbaik walaupun lagu Cinta Yang Terbiar bukan lagunya sendiri.

Kumpulan popular Alleycats hanya sekadar menghafal lagu Sampaikan Salam Cintaku dan untuk lagu Derita Seorang Insan, David menyanyi dengan lirik dilekat pada perkusi di hadapannya.

Selain Juara Lagu, AJL turut menawarkan hadiah untuk kategori Persembahan Terbaik yang dimenangi Alleycats dengan lagu Sampaikan Salam Cintaku dan Lirik Terbaik untuk Lukhman S dengan lagu Sekadar Di Pinggiran.

Antara lagu lain yang turut bertanding di AJL 1986 adalah :
Mac: "Usah Bertanya Lagi" - (Ahmad Nawab/Habsah Hassan/Siti Fairuz)
April: "Wajah Siapa di Hatimu" - (Omar Taib/Lukhman S/Azlina Aziz)
Mei: "Sampaikan Salam Cintaku" - (A Ali/Juwie/Kumpulan Alleycats)
Jun: "Derita Seorang Insan" - (Manan Ngah/Habsah Hassan/Kumpulan Alleycats)
Julai: "Perjalananku" - (Adnan Abu Hassan/Seri Bayu/Azman Abu Hassan - menggantikan Jamal Abdillah)
Ogos: "Suatu Waktu Dahulu" - (Fauzi Marzuki/Habsah Hassan/Dwen)
September: "Cinta yang Terbiar" - (S.Sahlan/Juwie/Rohana Jalil - menggantikan Jamal Abdillah)
Oktober: "Aku Kehilanganmu" - (Manan Ngah/Habsah HassanFrancesca Peter)
November: "Sekadar di Pinggiran" - (Manan Ngah/Lukhman S/Francesca Peter)

AJL 1987

Percaya atau tidak jika GUA katakan yang pelakon, peragawati dan penyanyi Noorkumalasari pernah mengacarakan acara berprestij tersebut? Benar. Tahun 1987 menyaksikan Noorkumalasari digandingkan bersama Karim Muhammad, penyampai popular TV3 ketika itu.

Tahun itu AJL diadakan di Auditorium Besar Angkasapuri. Memang agak pelik bunyinya, tetapi itulah yang berlaku. Seingat saya di awal siaran telah berlaku sedikit gangguan elektrik.

1987 merupakan tahun pertama AJL berlangsung dengan lagu yang cukup iaitu sebanyak 11 lagu. Antara lagu yang terpilih ke AJL adalah :
Januari: "Angan-angan"(Fauzi Marzuki / Lukhman S / Raja Ema)
Februari: "Merisik Khabar" - (Manan Ngah / Habsah Hassan / Sudirman)
Mac: "Sekeping Hati Yang Luka" - (Kumpulan Alleycats)
April: "Hadirmu" - (Jayaraman / Kumpulan Alleycats)
Mei: "Memori Luka" - (Jeffry M.D. / Kumpulan Headwind)
Jun: "Mulanya di Sini" - (Roy Sta Maria / Syed Haron Ahmad / Kumpulan Freedom)
Julai: "Mengapa Sepi Tanpa Berita" - (Ismail Ahmad Nawab / Juwie / Kumpulan Steps)
Ogos: "Ku Pendam Sebuah Duka" - (Ismail Farez / Lukhman S Khatijah Ibrahim)
September: "Kerna Terpaksa" - (Manan Ngah / Juwie / Francesca Peter)
Oktober: "Menaruh Harapan" - (A. Ali / Habsah Hassan / Zaiton Sameon)
November: "Sayang Semuanya Sudah Terlambat" - (Ahmad Nawab / Juwie / Shidee)

Jika dinilai daripada barisan finalis yang bertanding rata-ratanya nama besar yang masih kekal populariti mereka hingga sekarang. Sudirman contohnya, walaupun telah lama meninggalkan kita namanya masih tersemat kukuh dalam hati kita semua. Inilah satu-satunya AJL yang disertai Allahyarham Sudirman (sekarang Datuk). Hal yang sama dikongsi Zaiton Sameon, Khatijah Ibrahim (sekarang Datuk) dan kumpulan Freedom.

Tahun itu menyaksikan lagu berhantu “Menaruh Harapan” dendangan bekas penyanyi kelab malam Zaiton Sameon menerusi album sulungnya. Lagu tersebut merupakan ciptaan A.Ali dengan lirik oleh Habsah Hassan. Penulis lirik itu turut memenangi kategori Lirik Terbaik.

Antara momen yang diingati hingga sekarang pastinya pemenang kategori Persembahan Terbaik iaitu Sudirman yang menyampaikan lagu Merisik Khabar. Momen memetik pemetik api di penghujung lagu tersebut pastinya masih segar dalam ingatan kita semua. Satu lagi, pastinya persembahan Zaiton Sameon yang sememangnya cukup sinonim dengan skirt pendeknya tetapi di malam tersebut Zaiton menambah bahagian bawah skirt tersebut untuk menutup bahagian kakinya.

Jika anda ingin tahu, lagu "Angan-angan" yang dipersembahkan oleh Raja Ema telah mengalahkan lagu "Sinaran" nyanyian Sheila Majid (sekarang Datuk) di peringkat separuh akhir bulanan bulan Januari dan sejak itu, lagu nyanyian Sheila Majid tidak pernah dicalonkan lagi untuk ke Anugerah Juara Lagu.

AJL1988

Tahun itu menyaksikan pengacara Charmaine Anne Augustin dipasangkan dengan penyanyi ND Lala. Hos berbangsa bukan Melayu itu cukup petah berbahasa Melayu dilihat antara penyampai berpotensi besar untuk menarik perhatian ramai. Tidak hairanlah sekiranya Charmaine dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugas pengacara selama tiga tahun berturut-turut selepas itu.

Nama Ramlah Ram meniti di bibir setiap penggemar muzik tahun itu. Jika dilihat dari trend muzik, sememangnya muzik Malaysia ketika itu didominasi penyanyi wanita. Berpegang pada lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu, lagu itu dinobatkan sebagai Juara Lagu pada tahun tersebut. Ia merupakan kali pertama untuk lagu yang bukan tiga bulan terakhir untuk menjuarai pertandingan tersebut.

Kita harus ingat AJL pada waktu itu masih berlandaskan populariti. Oleh itu, lagu yang menjuarai peringkat bulanan di tiga bulan terakhir berpeluang besar untuk muncul sebagai juara tahunan. Namun berbeza buat lagu nyanyian Ramlah Ram itu.

Siapa yang boleh lupa akan busana yang dikenakan Ramlah pada malam tersebut. Pertama kali mungkin bagi sesetengah penonton menyaksikan baju berlampu berbentuk hati yang ditatarias oleh perunding fesyen terkenal, Norma Norell (sekarang Datin).

Walaupun lampunya tidak berfungsi di saat-saat Ramlah menyanyi di dalam keadaan dewan yang digelapkan, namun impian penonton untuk melihat lampu itu menyala berhasil sewaktu Ramlah membawakan lagu tersebut sekali lagi setelah pengumuman keputusan.

Ramlah turut diumumkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik. Vokalnya yang tinggi merupakan antara “plus point” untuknya malam itu. Begitu juga buat Jay Jay, penyanyi lelaki yang berkarisma membawakan lagu-lagu bernada tinggi. Menerusi lagu Cukuplah Sekali, Jay Jay memenangi tempat ketiga kategori Persembahan Terbaik dan lirik lagu tersebut memenangi kategori Lirik Terbaik untuk Habsah Hassan.

Antara lagu lain yang turut dipertandingkan adalah :
Januari: "Bila Rindu Kusebut Namamu" - (Ahmad Nawab/Juwie/Siti Fairuz)
Februari: "Ilusi Satu Penantian" - (Ikhtiman Ismail/Ikhtiman Ismail/Ben Nathan)
Mac: "Masih Aku Terasa" - (Rahim Othman/Juwie/Kumpulan Gersang)
April: "Tugu Cinta" - (Zamree/Zamree/Zamree)
Mei: "Cukuplah Sekali" - (Jayaraman/Habsah Hassan/Jay Jay)
Jun: "Rayuanku" - (A. Ali/Lukhman S/Rohana Jalil)
Julai: "Sekian Lama Aku Merinduimu" - (Ismail Ahmad Nawab/Juwie/Kumpulan Steps)
Ogos: "Kau Kunci Cintaku di Dalam Hatimu" - (Ahmad Nawab/Wielid/Ramlah Ram)
September: "Diriku Terbelenggu" - (A. Ali/Habsah Hassan/Francesca Peter)
Oktober: "Suratan Takdir" - (Rahim Othman/Fauzan Uda Ahmad/Kumpulan Gersang)
November:"Tika & Saat Ini"- (Azida N.S/Azida N.S/Kumpulan Medicine)

AJL 1989

Fenomena Isabella! Walaupun memenangi juara bulan April, lagu ciptaan Search iaitu Isabella muncul sebagai pemenang utama Juara Lagu. Sehingga sekarang misteri pencipta lagu tersebut masih diperkatakan. Ada yang mengatakan lagu tersebut adalah ciptaan M.Nasir. Namun kerana tidak mahu lagu sebaik Isabella terlepas dalam persaingan AJL, lagu itu dikatakan ciptaan Search. Ini kerana peraturan pertandingan itu menjelaskan hanya lagu ciptaan komposer tempatan layak dipertandingkan. Pada tahun itu, M.Nasir masih warganegara Singapura dan bukannya Malaysia.

Namun, soal pencipta bukan persoalan utama kerana lagu itu sememangnya cukup malar segar dan diingati sebagai salah sebuah lagu terbaik Search hingga sekarang.

Antara lagu lain yang turut terpilih adalah :
Januari: "Taman Rasyidah Utama" Bob/Bob/Kumpulan Wings
Februari: "Sekali Aku Jatuh Cinta" Ismail Ahmad Nawab/Juwie/Nassier Wahab
Mac: "Misteri Mimpi Syakila" J.S Kevin/J.S Kevin/Kumpulan Wings
April: "Isabella" nyanyian Search/Bob/Search
Mei: "Kad Ucapanmu" A. Ali/Habsah Hassan/Norsheila Amin
Jun: "Resahku" A. Ali/Lukhman S/Rohana Jalil
Julai: "Sendiri" May/May/Kumpulan May
Ogos: "Janganlah Menghancurkan" Ahmad Nawab/Juwie/Shidee
September: "Cintaku Hanyut di Lautan Sepi" Ahmad Nawab/Juwie/Ramlah Ram
Oktober: "Segalanya Kuterima" Awang/Bob/Kumpulan Ilusi
November: "Bersama Suara Hati" Rahim Othman/Wan R.S/Kumpulan Gersang

Jika dinilai daripada gandingan komposer berpengalaman Ahmad Nawab dan penulis lirik, Juwie, rata-rata lagu yang dihasilkan mereka bergenre balada dan bertema cinta. Bermula 1986 hingga 1989, sudah banyak tahun Juwie menyertai AJL, namun tidak pernah sekalipun beliau memenangi kategori Lirik Terbaik.

Ramlah sekali lagi mempertaruhkan lagu ciptaan Ahmad Nawab dalam pertandingan tahun itu. Cukup sinonim dengan komposer tersebut setelah lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu meletup di AJL 1988 namun belum tentu menjanjikan sesuatu yang terbaik buatnya tahun tersebut.

Tahun 1989 juga menyaksikan persembahan-persembahan mantap dari kumpulan rock seperti Search dan Wings. Walaupun diwajibkan menyanyi secara live, vokalis kedua-dua kumpulan itu sungguh memukau. Tidak hairanlah mereka kekal dalam industri hiburan tempatan hingga kini,

Tahun itu juga menyaksikan kumpulan Search mengungguli kategori Persembahan Terbaik diikuti kumpulan Wings dengan lagu Taman Rashidah Utama dan Misteri Mimpi Syakila.

Lagu Isabella boleh dianggap sebagai menang besar apabila lagu tersebut muncul bergaya memenangi Juara Lagu, Persembahan Terbaik dan Lirik Terbaik buat pertama kali setelah empat tahun penganjuran AJL.

Selain fenomena Isabella, penggemar muzik tempatan diperkenalkan kepada Azwan Ali. Hos serba boleh yang digalas tanggungjawab untuk mengacarakan majlis tersebut bersama Charmaine Anne Augustin.

AJL 1990

Pertama kali AJL disertai M.Nasir setelah mendapat taraf kerakyatan Malaysia. Bukan sekadar satu lagu tetapi tiga buah lagu. Selain lagu nyanyiannya Mustika, M.Nasir turut mempetaruhkan lagu Sejati dan Sentuhan Kecundang.

Namun malangnya, tahun itu bukan tahun untuk meraikan M.Nasir ke dalam industri hiburan tempatan sebaliknya milik Adam Ahmad yang menang menerusi lagu Janji Manismu.

Penyanyi Aishah, rakyat Malaysia yang mencipta nama di New Zealand diraikan pada tahun tersebut. Persembahannya yang dramatik dalam lagu Janji Manismu akan terus diingati hingga kini. Siapa yang boleh lupa Aishah mengusung beg dan kemudian melemparkannya semata-mata untuk menghidupkan lagu tersebut.

Tahun ini juga memecah dominasi lagu balada dan rock apabila lagu berirama Nusantara seperti Mustika berjaya meloloskan dirinya ke peringkat akhir bersama lagu-lagu rock yang mula merobohkan penguasaan lagu bergenre balada. Lapan daripada sebelas lagu yang dipertandingkan adalah bergenre rock.

Muzik Malaysia nampaknya sudah beralih kepada genre rock sekitar tahun tersebut dan tidak salah jika dikatakan ianya merupakan pengaruh popularity kumpulan Search dan Wings yang baru menang tahun sebelumnya.

Jika tahun sebelumnya Search menang kategori Persembahan Terbaik, tahun ini milik Wings pula dengan lagu Sejati yang telah menewaskan persembahan dramatik Aishah. Tidak dipertikaikan kerana persembahan vokal Awie sangat memukau pada malam tersebut.

Walaupun rock dilihat sebagai kuasa baru dalam industri muzik tempatan, namun persembahan secara langsung mereka masih boleh dipertikaikan kualitinya. Beberapa kumpulan dilihat gagal menyampaikan lagu mereka dengan cemerlang.

Selain penyertaan M.Nasir dan kepulangan Aishah, industri muzik turut dengan tangan terbuka menerima artis luar negara dalam persaingan Juara Lagu. Endang S.Taurina merupakan satu-satunya artis luar negara yang berpeluang untuk menyertai AJL. Penyertaan itu dibenarkan dengan syarat lagu yang dinyanyikan masih merupakan ciptaan komposer tempatan.

Turut dipertandingkan adalah lagu berikut :
Januari: "Mustika" M. Nasir/M. Nasir/M. Nasir
Februari: "Sentuhan Kecundang" M. Nasir/M. Nasir/Kumpulan Ekamatra
Mac: "Pusara di Lebuhraya" Fauzi Marzuki/Bob/Kumpulan Ekamatra
April: "Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara" S. Amin Shahab/Kumpulan Mega
Mei: "Sejati" M. Nasir/M. Nasir/Kumpulan Wings
Jun: "Dari Sinar Mata" Awang/J.S Kevin/Kumpulan BPR
Julai: "Kembang Terhalang" Sani Sudin/Azida N.S/Kumpulan Gamma
Ogos: "Sangkar Emas" A. Ali/Lukhman S/Endang S. Taurina
September: "Suci Dalam Debu" Wan Zul/S. Amin Shahab/Kumpulan Iklim
Oktober: "Janji Manismu" Adam Ahmad/Wan Aishah/Aishah
November: "C.I.N.T.A." Z.N Kevin/J.S Kevin/Kumpulan XPDC

Sepanjang lima tahun penganjuran AJL, kita telah melihat bagaimana selera muzik Malaysia berubah dari genre balada yang rata-ratanya didominasi penyanyi wanita kepada rock oleh kumpulan-kumpulan rock tempatan dan di penghujung tahun 80an mula diberikan teaser akan lagu berirama Nusantara oleh M.Nasir.

Evolusi muzik ini sangat menarik untuk dianalisa kerana setakat ini hanya kumpulan Search yang berjaya memecahkan dominasi penyanyi wanita seperti Francesca Peter, Zaiton Sameon, Ramlah Ram dan Aishah.

Dalam artikel yang seterusnya akan membawa pembaca mengimbas sejarah 1991 hingga tahun 2000, tahun di mana nama M.Nasir dan Siti Nurhaliza (sekarang Datuk) bertukar trofi Juara Lagu bersilih ganti.

Rasai kehangatan Anugerah Juara Lagu 25 yang bakal berlangsung 9 Januari depan di Stadium Putra, Bukit Jalil, disiarkan secara langsung di TV3 dan menerusi online di www.tv3.com.my.

No comments:

Post a Comment